Tiada sambutan Songkran oleh masyarakat Siam di Malaysia pada tempoh PKP

Bernama
April 20, 2020 21:17 MYT
Masyarakat keturunan Siam di Malaysia sentiasa patuh pada peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Tiada sebarang sambutan Songkran diraikan oleh masyarakat keturunan Siam di negara ini sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia, Datuk Seri Boon Som Inong.
Beliau berkata masyarakat keturunan Siam di Malaysia sentiasa patuh pada peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Kerajaan Thailand sendiri telah memutuskan tidak mengadakan sambutan Pesta Songkran yang sepatutnya disambut pada 14 April, dan lain-lain keraian berkaitan dengannya, untuk mengelakkan perhimpunan orang ramai dan mencegah penularan wabak COVID-19," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa kejadian sekumpulan rakyat asing yang ditahan kerana mengingkari PKP dengan menyambut pesta air baru-baru ini, tiada kaitan dengan sambutan Songkran oleh masyarakat Siam.
Sebaliknya, beliau berkata sekumpulan warga Myanmar itu menyambut Thingyan yang diadakan sempena kedatangan tahun baharu masyarakat itu, yang jatuh pada 17 April.
"Nampak macam serupa dengan pesta air yang dibuat oleh masyarakat keturunan Siam di Malaysia dan Thailand, tapi tidak sama. Pesta air yang diadakan oleh masyarakat Siam disebut sebagai Songkran dan tahun baharu yang disambut pada 13 April setiap tahun," katanya.
Baru-baru ini tular rakaman video berdurasi 30 minit memaparkan sekumpulan rakyat asing mengingkari PKP dengan dikatakan merayakan pesta air di sebuah kilang di Sepang.
-- BERNAMA
#boon som inong #COVID-19 #koronavirus #masyarakat siam malaysia #perintah kawalan pergerakan #pesta air #PKP #Songkran
;