Tiada sambutan Hari Bandaraya Miri susulan COVID -19 - Datuk Bandar

Bernama
Mei 19, 2020 21:32 MYT
Sambutan ulang tahun ke-15 bandaraya Miri akan dilangsungkan apabila keadaan mengizinkan kelak. - Bernama
Tiada sambutan akan diadakan sempena Hari Bandaraya Miri dan Ulang Tahun ke-15 Miri susulan pandemik COVID-19, kata Datuk Bandarnya Adam Yii.
Beliau berkata sambutan itu sepatutnya menjadi satu acara yang menggembirakan dalam meraikan banyak kemajuan dan pencapaian Miri sejak tarafnya dinaikkan sebagai sebuah bandar raya pada 20 Mei 2005.
"Mercu tanda terkini sepatutnya ialah Dewan Bandaraya Miri baharu yang dijadualkan siap pada 24 Dis tahun ini namun tertangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," menurutnya dalam satu kenyataan.
Susulan pandemik global itu, Malaysia telah melaksanakan PKP mulai 18 Mac sehingga 12 Mei selama 56 hari diikuti tempoh 28 hari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 13 Mei hingga 9 Jun.
"Bagaimanapun, adalah menjadi hasrat Majlis Bandaraya Miri untuk meraikan Ulang Tahun ke-15 Bandaraya Miri pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian apabila keadaan mengizinkan," katanya.
-- BERNAMA
#Adam Yii #COVID-19 #Dewan Bandaraya Miri #Hari Bandaraya Miri #Malaysia #Miri