Tiada rancangan tambah peruntukan pakej rangsangan ekonomi, kata Tengku Zafrul

Bernama
Julai 21, 2020 13:40 MYT
Tengku Zafrul sebarang pakej tambahan akan diumum bergantung kepada proses pemulihan ekonomi negara. - Foto file
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini berkata tiada rancangan untuk menambah peruntukan pakej rangsangan ekonomi buat masa ini.
Beliau berkata sebarang pakej tambahan akan diumum bergantung kepada proses pemulihan ekonomi negara.
"Buat masa ini kita belum lagi ada rancangan untuk buat tambahan kepada pakej Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kerana fokus kita sekarang ialah untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi," kata beliau ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian-BN) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Terdahulu, Tengku Zafrul berkata kerajaan telah memperkenalkan lebih 80 inisiatif di bawah pakej Prihatin, Pakej Prihatin PKS Tambahan dan Penjana.
Ketiga-tiga pakej ini diperkenalkan sebagai langkah memulihkan ekonomi akibat COVID-19.
Sehingga 17 Julai, prestasi pelaksanaan bagi inisiatif yang bersifat "one-off" di bawah pakej Prihatin adalah di tahap 91 peratus, kata Tengku Zafrul.
Prestasi pelaksanaan berkenaan termasuk nilai moratorium dianggarkan berjumlah RM59 bilion dan RM11.14 bilion bantuan tunai secara "one-off" di bawah Bantuan Prihatin Nasional kepada 10.4 juta penerima B40 dan M40.
Jumlah bayaran sebanyak RM7.6 juta bagi subsidi upah dan program pengekalan pekerja juga telah diberi dan telah menyelamatkan 2.75 juta pekerjaan.
Antara Pakej Penjana yang telah dijalankan ialah lebih 119,800 pas telah dijual di bawah program MY30 sehingga 17 Julai bagi perkhidmatan pengangkutan awam dengan subsidi kerajaan bernilai RM20.4 juta.
Selain itu, bayaran secara "one-off" sebanyak RM300 di bawah Bantuan Sosial bagi Golongan Mudah Terjejas telahpun dibuat, seperti kepada 108,000 Orang Kelainan Upaya (OKU) bernilai RM32.3 juta.
"Pelaksanaan Prihatin dan Penaja dipantau rapat oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA), di bawah Kementerian Kewangan.
"Unit ini membuat laporan mingguan kepada Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri," kata Tengku Zafrul.
#Ahmad Maslan #Dewan Rakyat #ekonomi #Kementerian Kewangan #kerajaan #koronavirus #menteri #nilai #OKU #PAS #PENJANA #Perdana Menteri #PKS #rakyat #subsidi
;