Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam gempa bumi di Xinjiang, China - Wisma Putra
Bernama
Januari 24, 2024 17:54 MYT
Januari 24, 2024 17:54 MYT
PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia terjejas akibat gempa bumi yang melanda Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China pada Selasa.
Dalam satu kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Rabu berkata pihaknya sedang memantau perkembangan susulan gempa bumi yang berlaku pada 2.09 pagi (waktu tempatan) itu.
"Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat gempa bumi ini, serta kepada rakyat dan kerajaan Republik Rakyat China," katanya.
Wisma Putra berkata rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Menurut Wisma Putra rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Beijing di No. 2, Liang Ma Qiao Bei Jie, Chaoyang District, Beijing 100600, China atau menghubungi 00-8610-6532-2531 atau 00-8613718942581 (kecemasan - selepas waktu pejabat) atau melalui e-mel di mwbeijing@kln.gov.my.
-- BERNAMA