Tiada rakyat Malaysia terjejas akibat gempa bumi di sempadan Turki - Iran

Bernama
Februari 24, 2020 05:49 MYT
Rumah di sebuah kampung di Baskale, dalam wilayah Van di Turki, ranap susulan kejadian gempa bumi yang melanda pada Ahad. (Foto AP)
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat gempa bumi di Wilayah Van, Turki dan Azerbaijan Barat, Iran, pada Ahad, menurut satu kenyataan Wisma Putra.
Wisma Putra berkata pihaknya sedang memantau perkembangan gempa bumi bersaiz 5.7 pada skala Richter di kawasan terbabit.
Menurut kenyataan itu setakat ini gempa bumi berkenaan mengorbankan sembilan nyawa dan menyebabkan kecederaan kepada lebih 40 orang di kedua-dua wilayah.
"Wisma Putra menzahirkan takziah dan simpati kepada kerajaan serta rakyat Turki dan Iran, terutamanya mereka yang terjejas akibat gempa bumi itu.
"Malaysia bersama rakyat Turki dan Iran dalam menghadapi masa yang sukar ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang memerlukan pertolongan konsul dinasihatkan menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Turki dan Tehran, Iran menerusi e-mel di mwankara@kln.gov.my (Ankara) and mwtehran@kln.gov.my (Tehran).
--BERNAMA
#gempa bumi #Iran #Kementerian Luar #rakyat Malaysia #Turki #Wisma Putra
;