Tiada rakaman video libat Najib dalam premis penjara
Sinar Harian
Oktober 25, 2022 11:58 MYT
Oktober 25, 2022 11:58 MYT
SHAH ALAM: Jabatan Penjara Malaysia menegaskan tiada sebarang rakaman video melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dibuat oleh mana-mana agensi media di dalam premis penjara seperti tular di media sosial.
Agensi itu dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, hasil semakan mendapati video tersebut telah dirakam lebih awal oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Kembara Keluarga Malaysia episod 57 iaitu sebelum Najib dipenjarakan.
"Video yang ditayangkan di TV1 pada 24 Oktober 2022 menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik," katanya pada Selasa.
Sebelum ini, pelbagai pihak terutama pembangkang menuntut penjelasan mengenai video Najib yang berucap di TV1.
Antara yang menuntut penjelasan itu ialah bekas Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang membangkitkan persoalan adakah Najib berada di penjara.
Dalam pada itu, Jabatan Penjara turut menggesa agar orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut.
"Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab," tegasnya. -- Sinar Harian