Tiada pusat tahfiz terlibat aktiviti militan

Astro Awani
Ogos 5, 2018 20:38 MYT
MUKHRIZ: Jangan mudah percaya.
Tiada sekolah agama atau maahad tahfiz yang dikesan menjadi pusat penyebaran dakyah militan dan aktiviti keganasan, seperti didakwa pihak tertentu.
Itu tegas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir terhadap penyebaran video peperangan dihasilkan di Kedah.
Beliau berkata, malahan insititusi pondok selama ini terbukti penting sebagai benteng pengukuhkan akidah selain mempertahankan kesucian agama Islam dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.
Sehubungan itu beliau menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau apa yang ditonton oleh anak-anak mereka memandangkan propaganda jahat tersebut banyak disebarkan melalui internet dan sudah tentu boleh diakses di mana-mana sahaja.
"Unsur yang mempengaruhi mereka ini adalah propaganda melalui internet khususnya. Jadi, baik dalam bentuk video yang diterbit ala Hollywood. Kalau kita tengok beberapa video ni, cara penerbitannya itu macam Hollywood.
"Kita pun tertanya-tanyalah dari mana datangnya kepakaran untuk membuat video-video seperti itu di tengah-tengah medan perang," ujar Mukhriz yang menyeru semua pihak jangan percaya pada khabar seumpamanya.
Terdahulu siang tadi, Mukhriz menyerahkan cek bantuan pelajar miskin kepada enam sekolah dan insitusi agama di Parlimen Jerlun antaranya Maktab Pengajian Islam negeri Kedah, Al Madrasah Al Imaniyyah Ad Dalawiyah dan Ribat Nasrul-Muhajirin, Pondok Permatang Kaka di Sekolah Agama Melele dekat Kubang Pasu.
#aktiviti keganasan #dakwah #Islam #maahad #militan #Mukhriz Mahathir #pengganas #tahfiz
;