Tiada projek pengangkutan awam akan tertangguh- Ahmad Zahid

Rahimah Abdullah
Mei 17, 2016 12:06 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) bergambar kenangan bersama bas rasmi Perhimpunan Persatuan Antarabangsa Pengangkutan Awam Asia Pasifik (UITP) ke-16 pada majlis perasmian perhimpunan itu, hari ini. - Foto BERNAMA
Kerajaan akan memastikan tiada mana-mana projek pengangkutan awam akan ditangguhkan, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tegasnya, semua projek berkenaan akan dipastikan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
"Kita akan pastikan tiada projek pengangkutan awam yang akan tertangguh. Namun, jika ada yang tergendala, ia dipastikan pada tahap minima," katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Persatuan Antarabangsa Pengangkutan Awam Asia Pasifik (UITP) ke-16 di sini hari ini.
Pada masa sama kerajaan menyedari akan kekurangan tenaga kerja terutama dalam sektor pembinaan.
"Walaupun terdapat 1.99 juta pekerja asing yang berdaftar di negara ini, namun majikan masih berhadapan dengan masalah kekurangan pekerja yang memberi kesan kepada penangguhan beberapa projek,"
Masalah itu katanya sentiasa menjadi tumpuan kerajaan dan usaha memenuhi keperluan berkenaan sentiasa dilakukan.
#Ahmad Zahid Hamidi #pengangkutan awam #UITP
;