Tiada polisi gugur janin dijangkiti Zika buat masa ini - Subramaniam

Tan Su Lin
September 7, 2016 18:34 MYT
Mengikut undang-undang, pengguguran kandungan hanya boleh dibuat jika membahayakan kesihatan ibu, bukannya anak. - Gambar fail
Buat masa ini, tiada polisi berkenaan pengguguran janin yang dijangkiti virus Zika di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, mengikut undang-undang pengguguran kandungan hanya boleh dibuat jika membahayakan kesihatan ibu, bukannya anak.
Sehubungan itu, setiap pesakit akan ditangani mengikut kes, berdasarkan nasihat pakar sakit puan yang merawat mereka.
"Buat masa ini, mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan, kami hanya membenarkan pengguguran terapeutik perubatan sekiranya kandungan tersebut mengancam nyawa ibu. Sekiranya tidak, kami tidak dapat memberikan nasihat berhubung perkara ini, berdasarkan garis panduan sedia ada," katanya kepada pemberita dalam sidang media khas virus Zika di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam berhubung hukum menggugurkan janin bagi ibu yang dijangkiti Zika, ujar Dr. Subramaniam, ia tertakluk kepada tafsiran individu.
"Semalam Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan fatwa bahawa pengguguran janin dibenarkan sekiranya belum mencapai 120 hari. Itu adalah tertakluk kepada interpretasi setiap individu dan membuat keputusan berdasarkan komitmen agama masing-masing.
"Namun bagi pihak Kementerian Kesihatan, kami akan menangani setiap kes secara individu dimana doktor khususnya pakar sakit puan yang merawat pesakit berkenaan akan menasihati pesakit berkenaan tentang risiko, apa perkara yang perlu dilakukan dan pemantauan yang perlu dibuat," katanya.
Semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan fatwa bahawa orang Islam boleh menggugurkan kandungan mereka yang dijangkiti virus Zika sekiranya ia didapati memudaratkan kehidupan keluarga atau bayi itu sendiri.
Bagaimanapun, ia tertakluk kepada beberapa syarat termasuk janin belum mencapai usia 120 hari serta mendapat persetujuan ibu bapa.
Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kes ketiga jangkitan virus Zika melibatkan seorang wanita mengandung di Johor Bahru.
Kes pertama sebelum ini adalah kes import dari Singapura membabitkan seorang wanita berumur 58 tahun dari Klang, Selangor.
Manakala kes kedua melibatkan kes jangkitan tempatan di Sabah.
#gugur kandungan #Kementerian Kesihatan #subramaniam #Zika
;