Tiada PKPD di Kampung Gunung Pulai - Dr Adham

Ernalisa Othman
November 26, 2020 18:57 MYT
Dr Adham Baba menjelaskan, pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp yang tular juga bukan disampaikan oleh sumber yang sahih. - Gambar fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menafikan kawasan Kampung Gunung Pulai di Kulai, Johor akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), seperti yang ditularkan dalam media sosial.
Sebuah video dan pesanan ringkas dari kumpulan info komuniti yang kononnya kawasan berkenaan akan dikenakan PKPD bermula malam ini selama 14 hari tular sejak petang tadi.
"Setakat ini tiada sebarang arahan PKPD diumumkan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Khamis.
Pun begitu, Adham menjelaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melakukan pengesanan kes aktif dan penilaian risiko di kawasan tersebut.
Beliau turut menjelaskan, pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp yang tular juga bukan disampaikan oleh sumber yang sahih.
Petang tadi, tular kononnya KKM selesai membanci seluruh kampung Gunung Pulai untuk ujian saringan dan akan menguatkuasakan PKPD selama 14 hari.
Turut dikongsi beberapa gambar khemah yang didakwa dibangunkan di kawasan pintu masuk kampung tersebut.
#PKPD #Kementerian Kesihatan #Adham Baba #WhatsApp #Tular #Kampung Gunung Pulai #Kulai Johor #Kementerian Kesihatan Malaysia #KKM #COVID-19
;