Tiada petunjuk pencerobohan bersenjata di Lahad Datu - Polis Sabah
Ridzal Abdullah
Februari 4, 2022 20:17 MYT
Februari 4, 2022 20:17 MYT
KOTA KINABALU: Polis Sabah mengesahkan tiada sebarang petunjuk berhubung dakwaan sekumpulan lelaki warga negara asing berpakaian celoreng dan bersenjata menyusup masuk ke Lahad Datu melalui perairan Long Patau, Tambisan, pada 28 Januari lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah menjalankan tindakan dari sudut risikan dan penyiasatan, namun mendapati tiada sebarang petunjuk mengenai dakwaan itu.
Bagaimanapun, Idris berkata, polis dan lain-lain pasukan keselamatan sentiasa memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan di pantai timur negeri ini dan Sabah keseluruhannya daripada sebarang ancaman luar.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak risau mengenai tahap keselamatan di Sabah," katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Semalam, sebuah agensi berita melaporkan, seorang lelaki mendakwa melihat lebih 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan, minggu lalu.
Lelaki terbabit turut mendakwa semua individu itu adalah warga Filipina berdasarkan perbualan mereka yang menggunakan bahasa Suluk.