Tiada petunjuk Korea Utara akan guna senjata nuklear - John Kirby

Bernama
Mac 23, 2023 11:20 MYT
Kirby berkata AS terus komited untuk melibatkan diri dengan Korea Utara, tetapi akan terus meningkatkan keupayaan pertahanannya di tengah-tengah kebuntuan untuk mengadakan dialog dengan Pyongyang. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Tiada petunjuk bahawa Korea Utara mungkin menggunakan senjata nuklearnya untuk menyerang Amerika Syarikat (AS) atau sekutunya dalam tempoh terdekat, menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS pada Rabu.
John Kirby yang juga Penyelaras NSC bagi komunikasi strategik berkata demikian susulan membuat kenyataan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bahawa tentera negara itu akan melakukan "serangan balas nuklear segera" jika perlu.
"Tidak ada tanda atau maklumat pada masa ini yang mendorong kami untuk percaya bahawa Korea Utara akan melakukan beberapa jenis serangan.
"Kami akan memantau rapat keadaan dengan sebaik mugkin," kata beliau ketika ditanya sama ada Korea Utara mungkin sedang bersiap sedia untuk melakukan serangan nuklear, lapor Agensi Berita Yonhap.
Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat pada Ahad yang menurut media kerajaan sebagai simulasi serangan balas nuklear taktikal.
Sejak tahun lepas, Pyongyang dilihat konsisten memperhebat retorik nuklearnya selepas menggubal undang-undang baharu yang membenarkan penggunaan senjata nuklear sebagai"pencegahan terhadap Korea Selatan dan AS.
Kirby berkata AS terus komited untuk melibatkan diri dengan Korea Utara, tetapi akan terus meningkatkan keupayaan pertahanannya di tengah-tengah kebuntuan untuk mengadakan dialog dengan Pyongyang.
"Kami menggesa Kim supaya duduk berbincang bersama Amerika Syarikat tanpa prasyarat. (Kami) bersedia untuk bercakap mengenai mengurangkan ketegangan dan pelucutan nuklear di semenanjung,"
"Beliau (Kim) tidak menerima tawaran itu dan kami akan terus memastikan keupayaan ketenteraan tersedia jika diperlukan," kata Kirby.
Kali terakhir Korea Utara mengadakan rundingan pelucutan senjata nuklear dengan AS pada 2019.
-- BERNAMA
#Korea Utara #senjata nulear #John Kirby #NSC
;