Tiada petunjuk baharu, operasi SAR nelayan hilang di perairan Kuala Gula ditamatkan

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 9, 2021 22:27 MYT
Tiada sebarang penemuan ditemui di lokasi selaman hari ini berikutan keadaan dasar yang gelap, arus laju dan terdapat banyak tali sangkar ikan yang menyukarkan operasi. - Gambar/ Astro AWANI
KERIAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang hilang di perairan Kuala Gula, di sini, sejak lima hari lalu, ditamatkan malam ini selepas tiada petunjuk baharu ditemui.
Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau berkata, operasi SAR Ch’ng Poh Chuan, 71, ditamatkan pada jam 7.30 malam.
Menurutnya, operasi itu akan diteruskan semula sekiranya petunjuk baharu ditemui.
“Pada hari ini, operasi penyelaman Maritim Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dilakukan di kawasan yang komuniti nelayan tempatan lapor ada penemuan bot semalam.
"Bagaimanapun, tiada sebarang penemuan ditemui berikutan keadaan dasar yang gelap, arus laju dan terdapat banyak tali sangkar ikan yang menyukarkan operasi serta mendatangkan risiko kepada pasukan penyelam,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Menurutnya, keluasan sektor operasi pencarian adalah seluas 64.40 batu nautika persegi.
Pada Selasa, Maritim Malaysia telah mengaktifkan operasi SAR lelaki warga emas itu yang hilang selepas keluar ke laut menaiki sampannya.
Kehilangan mangsa disedari adik iparnya apabila dia tidak pulang ke rumah.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali dilapor berkata, operasi itu diaktifkan jam 9.30 malam Selasa.
#Nelayan lemas #Kuala Gula #Kuala Kurau #operasi sar
;