Tiada petunjuk baharu, APMM tamatkan carilamat dua nelayan
Bernama
Ogos 12, 2022 21:27 MYT
Ogos 12, 2022 21:27 MYT
KUALA TERENGGANU: Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) dua lagi nelayan tempatan yang hilang dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Redang Isnin lepas, ditamatkan pada jam 7 malam hari ini.
Ia susulan tiada lagi petunjuk terbaharu diperoleh selepas empat hari operasi tersebut dilancarkan.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata dua mangsa yang masih hilang adalah Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49, dan Ahmad Zamri Ishak, 66.
"Operasi Carilamat telah ditamatkan oleh Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan setelah tiada petunjuk terkini diperolehi.
"Bagaimanapun usaha tersebut akan diaktifkan semula jika terdapat petunjuk baharu yang boleh membawa kepada penemuan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pada 10 malam itu, bot nelayan dinaiki enam lelaki karam setelah dilanda ribut di kedudukan lebih kurang 10 batu nautika dari Pulau Redang.
Seorang mangsa Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, terselamat, manakala tiga lagi mangsa iaitu Saludin Ismail, 50, Ahmad Nazri Ishak, 48, dan Zulkifli Umar, 48, ditemukan lemas di lokasi berbeza sekitar 1.7 hingga 1.9 batu nautika dari Pulau Redang pada Rabu.
-- BERNAMA