Tiada peruntukan, ada Ahli Parlimen PN jatuh ke golongan B40 - Abdul Latiff

Ridauddin Daud
Mac 5, 2024 15:44 MYT
Abdul Latiff berkata, selepas beberapa hari mendapat elaun, ada yang terus menjadi golongan B40 kerana wang tersebut terpaksa dikongsikan kepada rakyat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, mendakwa ada Ahli Parlimen dari parti itu menjadi golongan B40 kerana tiadanya peruntukan daripada kerajaan kepada pembangkang.
Menurutnya, selepas beberapa hari mendapat elaun, ada yang terus menjadi golongan B40 kerana wang tersebut terpaksa dikongsikan kepada rakyat terutamanya di awal musim persekolahan seperti sekarang.
“Perlu diingat dunia ibarat roda, siapa pun tidak akan kekal selamanya. Tiada siapa yang boleh tongkat langit.
“Oleh itu ucapan ini merupakan sebuah pesan. Pesan yang saya ingin bawa ini ialah pesan untuk sebuah negara yang menyayangi dan kasih antara satu sama lain.
“Yang mana usahanya adalah untuk membereskan segala masalah rakyat, ketimbang hanya berjanji namun tidak reti menepati.
“Sesebuah kerajaan semestinya membesarkan yang kecil tanpa mengecilkan yang besar. Menguatkan yang lemah tanpa melemahkan yang kuat..akhirnya yang untung rakyat jelata semuanya,” katanya.
Tambah beliau, peruntukan yang adil adalah berpandu kepada undang-undang dan sekiranya tidak diberikan, ia telah melanggar janji dan mengetepikan hak serta undang undang.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.
#golongan B40 #Kuala Krai #Perikatan Nasional #pembangkang
;