Tiada perubahan terhadap pengeluaran penuh umur 55 dan 60 tahun untuk ahli semasa - KWSP
Astro Awani
Julai 11, 2023 18:34 MYT
Julai 11, 2023 18:34 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menegaskan tiada pindaan dirancang untuk pengeluaran penuh umur 55 dan 60 untuk ahli-ahli semasa yang mencarum dengannya.
Menurut KWSP, perkhidmatan pengeluaran bulanan KWSP sedia ada hanya terpakai kepada ahli yang menyertainya secara sukarela.
Cadangan itu juga akan hanya melibatkan ahli baharu, buat sementara ini bagi mereka yang lahir pada atau selepas tahun 2010.
Ia juga melibatkan mereka yang berdaftar dengan KWSP selepas tarikh pelaksanaan kaedah baharu itu.
Dalam kenyataannya, KWSP menyatakan bayaran pertama di bawah kaedah mandatori itu hanya dibuat selepas ahli bersara, dijangka berlaku beberapa dekad dari sekarang.
“Cadangan ini masih sedang diteliti, dan KWSP memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berhubung pengeluaran simpanan akan dibuat dengan pertimbangan yang teliti dan selari dengan komitmen KWSP demi kepentingan masa depan ahli.
“Mekanisme pengeluaran mandatori bulanan akan menyelaraskan Malaysia dengan amalan di kebanyakan negara lain, kerana negara kita adalah antara minoriti kecil yang masih membenarkan pengeluaran sekali gus dan bukan berkala,” menurut kenyataan itu.