Tiada pertindihan antara Kementerian hal Ehwal Ekonomi dan Kewangan
Bernama
Mei 20, 2018 17:32 MYT
Mei 20, 2018 17:32 MYT
Tidak ada sebarang pertindihan tugas di antara Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kewangan, kata Lim Guan Eng yang dinamakan sebagai Menteri Kewangan.
"Saya rasa tidak, Kementerian Kewangan seperti biasa Kementerian Kewangan. Saya rasa di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi adalah dasar seperti yang telah dibuat sebelum ini di bawah JPM (Jabatan Perdana Menteri)," katanya ketika diminta mengulas berkenaan dua portfolio berkenaan di sini hari ini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan sebelum ini mengumumkan nama sembilan lagi anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan, termasuk Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Guan Eng bagaimanapun berkata ia (jawatan berkenaan) terpulang kepada Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor untuk menerima jawatan tersebut.
"Ini pun terpulang kepada Datuk Seri Azmin, beliau pun ada hubungi saya semalam... beliau belum membuat keputusan lagi sama ada hendak terima atau hendak lepaskan jawatan menteri besar, jadi kita tunggu keputusan beliau," katanya.
Sementara itu, berhubung pemansuhan tol di jambatan Pulau Pinang pertama yang pernah dijanjikan PH pada pilihan raya umum baru-baru ini sekiranya PH berjaya mengambil alih Putrajaya, Guan Eng berkata apa yang akan dilaksanakan terlebih dahulu adalah janji-janji yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari.
"Saya sudah sebut sebelum ini bahawa biarlah kita uruskan tentang janji-janji dalam 100 hari. Selepas ini kita akan berikan tumpuan kepada perkara-perkara lain.
"Kita pun kena memberikan pertimbangan bahawa penyata-penyata kewangan yang telah diumumkan sama ada ia tepat atau tidak, saya rasa kita kena buat semakan dan penyelidikan yang lebih lanjut lagi yang mana apa saya lihat nampaknya bukan sepertimana yang telah diura-urakan so kita kena berhati-hati," katanya.
Beliau berkata apa yang penting masa kini adalah mendapatkan maklumat kewangan yang sepenuhnya terlebih dahulu.
"Jadi biarlah kita dapat maklumat kewangan yang sepenuhnya dahulu, saya rasa itu lebih penting kerana kita pun hendak pastikan tidak ada mana-mana maklumat atau fail yang tidak didedahkan," katanya.
-- BERNAMA
#Azmin Ali
#ekonomi
#Kementerian Kewangan
#kerajaan
#Lim Guan Eng
#Mahathir Mohamad
#menteri
#Menteri Besar
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#PKR
#presiden
#Putrajaya
#tol