Tiada permohonan Tun M mahu jumpa Anwar - KP Penjara

Wan Syamsul Amly
Januari 11, 2018 13:46 MYT
Kelulusan berjumpa atau tidak mana-mana individu dengan banduan tertakluk kepada undang-undang sedia ada selain kuasa penjara.
Jabatan Penjara serta Penjara Sungai Buloh tidak pernah menerima permohonan dari Tun Dr. Mahathir Mohamad atau pihaknya bagi menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar menjelaskan, kelulusan berjumpa atau tidak mana-mana individu dengan banduan tertakluk kepada undang-undang sedia ada selain kuasa penjara itu sendiri.
Jelasnya, setiap permohonan akan dipertimbangkan berasaskan urusan yang disifatkan sebagai mendesak dan mustahak seperti yang tertakluk di dalam peraturan berkenaan.
"Kita perlu permohonan rasmi daripada Dr Mahathir sendiri, kalau tidak ada permohonan kita tak boleh beri.
"Seksyen 26 Akta penjara 1995 menjelaskan bahawa semasa dalam kawalan penjara, seseorang banduan disifatkan masih berada dalam penjara serta tertakluk kepada semua undang-undang penjara," katanya semasa sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Pada Rabu, Tun Mahathir menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Anwar yang kini dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras.
Mahathir yang hadir bersama-sama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilarang memasuki kawasan wad oleh 30 pegawai Jabatan Penjara yang berkawal.
Dalam pada itu kata Zulkifli, pihaknya juga bimbang tentang keselamatan dan ancaman yang dihadapi sekiranya Anwar dan Tun Mahathir dibenarkan berjumpa.
"Ia mungkin akan jadi kontroversi. Ada kebimbangan isu ini juga akan jadi tular," jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan ada memberi arahan kepada Jabatan Penjara untuk menghalang perjumpaan Tun Mahathir dengan Anwar.
Jelasnya, kuasa memberi kebenaran bagi perjumpaan seumpama itu terletak pada budi bicara pihak Penjara Sungai Buloh, Selangor.
#Anwar Ibrahim #Mahathir Mohamad #melawat #Nurul Izzah #penjara #Penjara Sungai Buloh #PPBM #Syed Saddiq #Timbalan Perdana Menteri #Tun Mahathir #undang-undang #Zulkifli Omar
;