Tiada permohonan permit debat Chong-Teo - Polis N. Sembilan
Bernama
Julai 14, 2017 18:55 MYT
Julai 14, 2017 18:55 MYT
Polis Negeri Sembilan belum menerima permohonan permit untuk penganjuran debat antara Ketua Pemuda MCA Senator Datuk Chong Sin Woon dan Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan Teo Kok Seong.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata mereka juga tidak tahu di mana atau bila debat itu akan diadakan.
Polis tiada halangan sekiranya program yang dibuat tidak mengganggu atau menggugat keselamatan dan ketenteraman awam selain dianjur mengikut lunas undang-undang, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Semalam, Chong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan mengumumkan beliau menyahut cabaran Teo yang juga Anggota Parlimen Rasah untuk berdebat.
Chong berkata tarikh, masa dan tempat berdebat itu akan ditentukan oleh pegawainya.
-- BERNAMA