Tiada permohonan pembersihan lot tanah di Bukit Tabur - MPAJ
Astro Awani
September 12, 2021 09:46 MYT
September 12, 2021 09:46 MYT
KUALA LUMPUR: Pemilik lot tanah di Bukit Tabur di Taman Melawati tidak membuat sebarang permohonan untuk membersihkan kawasan tersebut.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohd Fauzi Mohd Yatim menjelaskan, pihaknya juga telah mengambil tindakan penguatkuasaan di Lot 759 tersebut pada 11 September jam 11.00 pagi.
"Pihak MPAJ telah mengambil maklum berhubung isu yang tular di media sosial dan twitter berhubung dengan kerja-kerja tanah tanpa kelulusan yang berlaku di Lot 759 Mukim Hulu Kelang, Daerah Gombak, Selangor.
"Pihak pemilik tanah telah melakukan kerja-kerja pembersihan tanah dan penebangan pokok dengan menggunakan satu unit jengkaut (excavator).
"Tindakan penguatkuasaan ini adalah selaras dengan kesalahan yang dilakukan di bawah seksyen 70(A), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta133)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, tiada sebarang kelulusan aktiviti tanah diberikan di Bukit Tabur di Taman Melawati.
Mengulas lanjut Amiruddin berkata, semakan oleh kerajaan negeri, MPAJ dan Pejabat Daerah Gombak mengesahkan tiada kebenaran seumpama itu diberikan.
Dalam pada itu jelas Mohd Fauzi, tindakan dilaksanakan pada 11 pagi, 11 September dan sebuah jentera berat jengkaut telah disita.
Pihak MPAJ juga telah meletakkan batu penghadang di lokasi bagi menghalang kenderaan berat masuk semula ke lokasi.
Jekasnya, MPAJ memandang serius mengenai isu itu dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
#Amirudin Shari
#Ampang Jaya
#media sosial
#Twitter
#undang-undang
#Bukit Tabur
#jengkaut
#MPAJ
#sita