Tiada permohonan, kelulusan persembahan 'Apology Tour' oleh Jocelyn Chia, Chrissie Mayr

Hasimi Muhamad
Jun 26, 2023 16:55 MYT
Tular poster di laman sosial mendakwa persembahan Apology Tour di Live House Kuala Lumpur akan berlangsung pada 26 Ogos depan. - Foto/media sosial
KUALA LUMPUR: Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) tidak menerima dan meluluskan sebarang permohonan persembahan Apology Tour oleh pelawak kontroversi, Jocelyn Chia dan rakannya, Chrissie Mayr.
Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) itu dalam satu kenyataan berkata, ia susulan persembahan tersebut didakwa akan berlangsung pada 26 Ogos depan di ibu negara.
"Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa mana-mana kemasukan bagi artis luar negara atau penggambaran filem asing di Malaysia, permohonan perlu dikemukakan kepada PUSPAL bagi tujuan penilaian sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan.
"Sebarang hebahan dan promosi serta jualan tiket tidak boleh dilakukan sebelum memperoleh kebenaran penganjuran program daripada pihak berkuasa termasuklah surat kelulusan daripada PUSPAL," katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.
PUSPAL menambah maklumat lanjut berkaitan garis panduan persembahan artis luar negara boleh melayari laman web www.kkd.gov.my atau menghubungi PUSPAL di talian 03-89115355/5384 atau e-mel puspal@kkd.gov.my.
Terdahulu, tular di laman sosial hantaran pemilik akaun Instagram @chrissiemarypod mengenai promosi persembahan Apology Tour di Live House Kuala Lumpur - Jocelyn Chia dan Chrissie Mayr.
Begitupun, setakat ini tidak diketahui sama ada poster persembahan tersebut hanya sekadar 'parodi' yang bersifat provokatif atau sebaliknya.
Baru-baru ini, Jocelyn mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia selepas menjadikan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai bahan jenakanya dalam satu persembahan di Amerika Syarikat.
Kemudian, Chrissie pula mengeruhkan keadaan apabila menyokong Jocelyn dan menghina netizen Malaysia di media sosial.
#Jocelyn Chia #Apology Tour di Live House Kuala Lumpur #MH370
;