Tiada permohonan kelulusan khas RTK 2.0 selepas Disember 2022 - KP Imigresen

Bernama
September 6, 2023 17:34 MYT
Menurut Ruslin, kelulusan seumpama itu bertentangan dan melanggar dasar yang telah ditetapkan kerajaan semasa pelancaran program RTK 2.0 pada 27 Jan lepas. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen tidak pernah mengeluarkan kelulusan khas kepada pemohon Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0) yang menjadi pendatang tanpa izin di negara ini selepas tarikh 31 Dis 2022, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kelulusan seumpama itu bertentangan dan melanggar dasar yang telah ditetapkan kerajaan semasa pelancaran program RTK 2.0 pada 27 Jan lepas.
"Dasar adalah jelas bahawa hanya warga asing yang menjadi pendatang tanpa izin di negara ini hingga 31 Dis 2022 yang layak dan akan dipertimbangkan kelulusan RTK 2.0," katanya yang turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Kenyataan Ruslin itu bagi menafikan mesej rakaman suara yang tular menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa Jabatan Imigresen mengeluarkan kelulusan khas bagi pemohon RTK 2.0 yang menjadi pendatang tanpa izin di negara ini selepas tarikh 31 Dis 2022.
Rakaman suara yang tular itu mendakwa terdapat kelulusan khas akan diberikan hanya kepada 5,000 pemohon yang memasuki negara ini pada 2023.
"Jabatan ini sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini dan memohon orang ramai supaya tidak terpedaya dengan taktik penipuan ejen atau orang tengah seumpamanya," kata Ruslin.
-- BERNAMA
#jabatan imigresen #Ruslin Jusoh #RTK 2 0 #pendatang tanpa izin
;