Tiada permohonan keluar dari agama Islam direkodkan - Jamil Khir

Bernama
Mac 24, 2014 10:28 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Tiada sebarang rekod dicatat mengenai permohonan daripada masyarakat Islam, termasuk saudara baharu yang ingin keluar daripada agama Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata ketiadaan rekod itu adalah kerana tiada permohonan keluar Islam direkodkan dari mana-mana Mahkamah Syariah.
"Setakat ini tiada permohonan, kecuali permohonan menentukan status agama yang dipohon oleh individu berikutan kekeliruan dalam sijil kelahiran, kad pengenalan atau sijil akuan memeluk Islam.
"Mahkamah Syariah akan menimbang permohonan bagi menentu status agama bagi mengelak kekeliruan semasa pendaftaran nama terutama di Sabah dan Sarawak," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Dr Ko ingin tahu mengenai bilangan Muslim Melayu yang keluar daripada Islam dalam tempoh 10 tahun lepas serta bilangan bukan Islam yang memeluk agama Islam dalam tempoh sama.
Jamil Khir berkata bilangan mereka yang memeluk Islam perlu dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri sebagaimana yang termaktub dalam Butiran 1, Senarai 2, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam konteks Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan merekodkan seramai 4,520 bilangan orang yang memeluk Islam bagi tempoh 2008 hingga 2012," katanya.
#Islam #Jamil Khir #Parlimen