Tiada permohonan halal dari pengimport gula-gula White Rabbit

Bernama
September 8, 2019 17:54 MYT
Status halal gula-gula yang popular di China ini sering menjadi perdebatan dan dipersoalkan di laman sosial. - Wikipedia
Jabatan Kemajuan Islam Malayisa (Jakim) setakat ini, tidak pernah menerima permohonan sijil halal terhadap gula-gula susu 'White Rabbit', yang diimport dari China.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata pengimport gula-gula itu seharusnya membuat permohonan tersebut, yang akhirnya dapat menghentikan polemik berhubung status halal gula-gula berkenaan.
"... bagaimanapun, saya akan meminta supaya Jakim membuat siasatan, dan ujian makmal terhadap gula-gula itu bagi menentukan status halalnya, kerana isu halalnya telah lama diperkatakan dalam media sosial.
"Saya lihat isu ini menyebabkan umat Islam berada dalam keadaan dilema dan tidak pasti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ziarah Kasih Rahmah 2019, Peringkat Zon Timur di Sungai Lembing di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung dan Pemangku Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Parihah Hasan.
Status halal gula-gula yang popular di China itu, sering menjadi perdebatan dan dipersoalkan di laman sosial, terutamanya selepas jabatan agama sebuah negara jiran, mengesahkan ia sebagai tidak halal kerana salah satu bahan yang digunakan.
Pada perkembangan lain, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan menafikan khabar angin bahawa Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, akan diletakkan di bawah Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).
Sebaliknya, keputusan jemaah menteri ialah menubuhkan sebuah sekretariat dianggotai bersama JAKIM dan HDC, supaya kedua-duanya dapat bekerjasama bagi menambah baik kelemahan industri halal negara ini.
"Menerusi sekretariat ini, JAKIM akan terus terlibat dalam melaksanakan pensijilan halal manakala HDC akan memberi fokus kepada pembangunan industri halal," katanya.
Fuziah seterusnya memaklumkan Yayasan Wakaf Malaysia akan mewujudkan tabung khas bagi membangunkan semula perpustakaan awam Sungai Lembing, yang musnah dalam kebakaran besar melibatkan 32 premis bangunan di situ pada 31 Ogos lalu.
Katanya, individu yang menyumbang akan layak menerima tujuh peratus pengecualian cukai, dan potongan 10 peratus bagi syarikat, dengan maklumat lanjut berhubung tabung itu akan diumumkan pada minggu depan.
"Saya berharap apabila perpustakaan baru dibangunkan, ia lebih moden dan turut dilengkapi dengan bahan digital dan sebagainya kerana perpustakaan juga boleh menjadi tarikan pelancong apabila berada di sini," katanya.
-- BERNAMA
#Fuziah Salleh #gula-gula #JAKIM #media sosial #status halal #white rabbit
;