Tiada permohonan dari Azmin untuk tubuh parti politik baharu - Jabatan Pendaftaran

Bernama
Julai 11, 2020 12:44 MYT
Azmin Ali tidak pernah menghantar permohonan untuk mendaftar parti politik baharu, kata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. - Gambar fail
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan menubuhkan parti politik baharu daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
JPPM dalam kenyataan media berkata, pihaknya telah melakukan semakan rekod mengenai permohonan pendaftaran pertubuhan dan berdasarkan semakan, tiada permohonan dibuat ahli politik itu.
Jabatan itu berkata kenyataan itu dibuat kerana pihaknya telah menerima beberapa pertanyaan daripada pihak media bagi mendapatkan pengesahan, sekiranya ada permohonan bagi menubuhkan parti politik baharu daripada Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Mohamed Azmin yang merupakan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini telah menafikan dakwaan bahawa beliau akan menubuhkan parti politik baharu.
Beliau mengumumkan keluar dari PKR pada bulan Februari lepas, dan kini merupakan Ahli Parlimen Bebas.-- BERNAMA
#Azmin Ali #Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia #Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri #parti politik baharu #Timbalan Presiden PKR