Tiada pergerakan kenderaan 'VVIP' di kediaman PM pagi ini

Fareez Azman
Julai 30, 2021 14:10 MYT
Pemantauan Astro AWANI dari pagi tadi mendapati keadaan terkawal dan tenang berbanding semalam. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tiada pergerakan kenderaan membawa 'VVIP' (orang kenamaan) dilihat memasuki kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin padapagi Jumaat.
Pemantauan Astro AWANI dari pagi tadi mendapati keadaan terkawal dan tenang berbanding semalam apabila beberapa kenderaan Menteri, Timbalan Menteri dan beberapa orang kenamaan dilihat keluar-masuk kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara, Ibu negara.
Keadaan hujan renyai juga tidak menghalang pemerhatian pengamal media yang berkampung sejak jam 10.00 pagi tadi.
Semalam, beberapa kenderaan dilihat memasuki kawasan kediaman tersebut.
Antaranya kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
IKUTI: Rangkuman kandungan menarik Mesyuarat Khas Parlimen di Sisi TV Parlimen
BACA: LAPOR LANGSUNG MESYUARAT KHAS PARLIMEN DI SINI
Pertemuan itu dipercayai susulan kenyataan media Istana Negara pada Khamis berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Mesyuarat Khas Parlimen berkaitan Ordinan Darurat.
Dalam kenyataan itu,Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen pada Isnin lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan-ordinan Darurat.
Menurut kenyataan itu, pembatalan Ordinan Darurat itu belum lagi diperkenan Seri Paduka Baginda.
#Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #ismail sabri yaakob #Parlimen #Peguam Negara #Timbalan Perdana Menteri #Tan Sri Annuar Musa #Yang di-Pertuan Agong #Dewan Rakyat #Ordinan Darurat
;