Tiada perbincangan politik - Zuraida

Sinar Harian
Ogos 1, 2019 06:24 MYT
ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni tiba di kediaman menteri besar kira-kira jam 8.30 malam. - Foto Sinar Harian
Tiada perbincangan politik sebaliknya perjumpaan yang diadakan bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor malam tadi menumpukan kepada program kementerian.
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pertemuan di kediaman Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari jam 8 malam tadi adalah bertujuan memberikan penerangan berkaitan Dasar Komuniti Negara.
"Saya berjumpa mereka kerana mahu memberikan penerangan berkenaan Dasar Komuniti Negara dan cara memperkasa komuniti," katanya sebaik keluar dari kediaman itu kira-kira jam 10 malam.
Ditanya sama ada agenda lain yang dibincangkan seperti isu PKR, beliau menafikan.
"Bukan saya," katanya ringkas sebelum meninggalkan lokasi.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan pertemuan antara Amirudin bersama ADUN Selangor yang beragama Islam pada Khamis.
Laporan menyebut, agenda pertemua tersebut samar namun Setiausaha Politik Menteri Besar, Borhan Aman Shah memaklumkan, ia hanya pertemuan biasa.
“Ini merupakan perjumpaan tertutup dan hanya makan malam bersama MB sahaja. Kadang-kadang kami (ADUN) berjumpa untuk berbual perkara biasa,” memetik laporan portal itu.
Antara ADUN yang hadir pada perjumpaan itu adalah Azmizan Zaman Huri (Pelabuhan Klang); Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia); Adhif Syan Abdullah (Dengkil); Mohd Zawawi Ahmad Mughni (Sungai Kandis) dan Mohd Khairuddin Othman (Paya Jaras).
Terdahulu, kedudukan Amirudin sebagai menteri besar mula diperkatakan selepas beliau dilihat lantang menyatakan sokongan kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Lembaga Disiplin PKR turut mengeluarkan surat untuk memanggil beliau bagi memberi penjelasan berhubung beberapa kenyataan yang dikeluarkan olehnya sebelum ini.
#adun selangor #Amirudin Shari #Dasar Komuniti Negara #Lembaga Disiplin #MB Selangor #Mohamed Azmin Ali #perbincangan politik #pertemuan #PKR #program kementerian #Zuraida Kamaruddin
;