Tiada perbincangan jawatan TPM dari Sabah dibincangkan - Shafie
Astro Awani
November 27, 2022 17:45 MYT
November 27, 2022 17:45 MYT
PUTRAJAYA: Tidak perbincangan mengenai lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan agihan anggota Kabinet dalam kalangan wakil rakyat Parti Warisan yang dibincangkan pada pertemuan antara Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, Presiden Warisan itu berkata, apa yang dibincangkan adalah mengenai keadaan semasa negara, mendepani ekonomi global serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Saya bertemu dengan Perdana Menteri membincangkan tentang perjalanan yang perlu kita lakukan dalam masa terdekat terutama ekonomi.
"Kita perlu mengurus dengan baik kerana harapan rakyat cukup tinggi terhadap pemerintahan yang ada hari ini. Warisan berharap ia dilaksanakan sebaik mungkin walaupun saya tahu ia bukan mudah, banyak rintangan dan kekangan kewangan termasuk ekonomi dunia.
"Selain itu saya juga bangkitkan mengenai MA63 yang perlu dilihat dengan terperinci," katanya selepas pertemuan itu Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Warisan yang mempunyai tiga ahli parlimen bertindak menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar Ibrahim.
Selain Warisan dua lagi blok Borneo yang menyertai Kerajaan Perpaduan ialah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).