Tiada perbahasan RUU 355 dalam Dewan Rakyat

Hafiz Marzukhi
April 5, 2018 12:15 MYT
TAKIYUDDIN: Pas sudah melaksanakan tanggungjawabnya untuk membawa usul ini ke Dewan Rakyat.
Tidak akan ada perbahasan bagi Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 pada hari terakhir Dewan Rakyat hari ini.
Ini susulan pembentangan usul oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat, setelah selesai usul dari Menteri Kewangan yang tersenarai di posisi pertama dalam Aturan Mesyuarat dan Usul-Usul.
Usul tersebut dibuat dibawah Peraturan Mesyuarat 12 (1).
Kemudian, Datuk Takiyuddin Hassan (Pas - Kota Bharu) membangkitkan soal masa hadapan pembentangan RUU 355 memandangkan usul tersebut sudah dibentangkan namun masih lagi belum dibahaskan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian menjawab bahawa beliau terikat kepada Peraturan Mesyuarat bahawa urusan kerajaan didahulukan dan kerajaan berhak untuk menentukan usul serta Rang Undang-Undang yang dinaikkan.
"Jika ditanya mengenai bagaimanakah urusan usul ini selepas Sidang Parlimen Ketigabelas, saya tidak boleh jawab kerana saya tidak tahu siapa yang menjadi kerajaan.
"Ia akan terpulang kepada kerajaan pada masa itu," kata beliau.
Ketika sidang media selepas itu, Takiyuddin menyatakan bahawa pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.
"Ini bermakna Pas sudah melaksanakan tanggungjawabnya untuk membawa usul ini ke Dewan Rakyat.
"Sama ada ia akan diambilalih oleh Kerajaan terpulang kepada perbahasan usul tersebut," kata beliau.
Isu mengenai RUU 355 timbul selepas usul itu muncul dalam aturan urusan mesyuarat hari terakhir Dewan Rakyat setelah tersenarai di posisi kedua.
Ia terletak selepas usul dari Menteri Kewangan untuk meminda Seksyen 10 (4)(a) Akta Tatacara Kewangan 1957 dengan penambahan butiran baharu.
#aturan mesyuarat #Azalina Othman Said #Dewan Rakyat #hudud #PAS #RUU 355 #syariah #Takiyuddin Hassan #usul
;