Tiada perarakan Thaipusam di Pulau Pinang tahun ini

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 8, 2021 15:25 MYT
Banyak aktiviti dan acara tradisional perlu dibatalkan pada sambutan Thaipusam kali ini berikutan ancaman pandemik. - Gambar hiasan/Astro AWANI
GEORGE TOWN: Tiada perarakan dua pedati yang membawa Dewa Murugan sempena perayaan Thaipusam di Pulau Pinang selepas semua acara bagi sambutan perayaan itu dibatalkan.
Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, pembatalan acara yang bermula 27 hingga 29 Januari itu dibuat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Ramasamy berkata, meskipun perarakan pedati perak yang berusia lebih 100 tahun dan pedati emas yang baharu adalah kemuncak perayaan tahunan Thaipusam, namun ia terpaksa dibatalkan demi keselamatan rakyat.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang menegaskan, semua penganut agama Hindu juga tidak dibenarkan menghadiri upacara sembahyang di mana-mana kuil sepanjang tiga hari tersebut sebaliknya melakukan upacara berkenaan di rumah masing-masing.
Bagaimanapun, beliau berkata upacara sembahyang pada tiga hari tersebut akan tetap dilakukan oleh ahli jawatankuasa kuil di dua buah kuil iaitu Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Jalan Kebun Bunga (Kuil Waterfall Hill) dan Kuil Nattukottai Chettiar.
"Tiga hari ini kita tidak ada chariot (pedati), tidak ada kavadi, tidak ada gerai, potong rambut secara skala besar, tidak ada membawa susu, tiada pengedaran makanan percuma. Semua aktiiti tradisional tidak akan diaakan. Kita dapat persetujuan daripada pihak KKM, MKN, dan Kementerian Perpaduan. Polis akan kawal situasi," ujar Ramasamy.
Dalam pada itu beliau berkata pihak berkuasa akan terus memantau kuil-kuil di sekitar negeri itu pada hari tersebut bagi mengelak dikunjungi penganut agama Hindu.
"Beberapa negeri sudah meningkat (kes jangkitan). Memandangkan ini adalah situasi serius dan luar biasa, Lembaga Wakaf Hindu bersama ceti mesti adakan satu tindakan bertanggungjawab supaya kita tidak benarkan pandemik ini merebak.
"Kami mahu pastikan pandemik dapat dikawal. Kami perlu berikan kerjasama. Kami dengar saranan MKN, dan perbaiki SOP. Kami peduli demi memastikan tiada kluster Thaipusam," ujarnya.
Menurut Ramasamy, penganut agama Hindu bagaimanapun masih boleh melakukan upacara sembahyang di kuil pada hari pertama sambutan perayaan Thaipusam bermula 14 Januari sehingga 26 Januari.
Namun, upacara itu perlu dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti ditetapkan pihak pengurusan kuil bagi mengelak jangkitan Covid-19.
#perayaan #Thaipusam #perarakan #pulau pinang #pandemik #COVID-19 #P Ramasamy #lembaga wakaf hindu
;