Tiada perancangan kaji semua cukai dalam sektor automotif - Tengku Zafrul
Ridauddin Daud
Februari 23, 2023 12:49 MYT
Februari 23, 2023 12:49 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada perancangan untuk mengkaji semula cukai sedia ada dalam sektor automotif buat masa ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, cukai sedia ada memainkan peranan dalam menggalakkan aktiviti nilai tambah dalam industri tersebut.
Menurutnya, ia termasuk menggalakkan aktiviti kereta pemasangan tempatan (CKD) dan pembangunan vendor dari Malaysia.
“Jadi ini, untuk menggalakkan vendor tempatan untuk mengambil bahagian dalam pembangunan industri automotif di Malaysia.
“Insentif ditawarkan melalui pengurangan cukai melalui aktiviti nilai tambah dilaksanakan. Lebih tinggi nilai tambah dilakukan, lebih tinggi pengurangan cukai.
“Ia sekali gus membantu syarikat pengeluar kenderaan terutamanya mereka yang buat CKD di Malaysia.
“Pendekatan ini kita harap memboeh kerajaan membangunkan industri automotif tempatan yang berdaya saing melalui limpahan ekonomi hasil daripada nilai tambah disamping kita mengharapkan harga kenderaan juga akan berkurang,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis sebagai respons terhadap Datuk Seri Wee Ka Siong (BN - Ayer Hitam) yang bertanya berkaitan pengurangan cukai bagi mengurangkan harga kereta di Malaysia.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata harga kenderaan adalah tidak dikawal oleh pihak kerajaan tetapi dipengaruhi oleh daya pasaran.
“Harga kenderaan adalah dipengaruhi oleh kos-kos yang terlibat dalam mengeluarkan sesebuah kenderaan seperti kos komponen yang digunakan, kos pengangkutan dan logistik, kos insuran, kadar faedah pinjaman, kos teknologi baharu dan kos-kos lain.
“Sebahagian kos-kos ini juga adalah dipengaruhi oleh kadar tukaran wang asing. Penentuan harga oleh syarikat-syarikat pengeluar kenderaan (OEM) turut mengambil kira keanjalan permintaan (demand elasticity) terhadap sesebuah kenderaan tersebut.
“Kebiasaannya, kereta kategori mewah mempunyai keanjalan permintaan yang lebih rendah berbanding bukan mewah,” ujarnya lagi.