Tiada penularan varian Delta dalam komuniti di Sarawak
Nuzuluddin Abdul Razak
Julai 9, 2021 20:03 MYT
Julai 9, 2021 20:03 MYT
KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini menegaskan tiada penularan dalam komuniti susulan pengesanan kes pertama varian Delta di Kuching, Sarawak.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, individu pembawa varian itu yang merupakan lelaki tempatan berusia 56 tahun sedang mendapatkan rawatan dan dikuarantin sementara siasatan lanjut dilakukan pihaknya.
“Setakat ini belum ada penyebaran daripada varian Delta dalam kalangan komuniti di Sarawak dan kita telah memastikan individu yang dijangkiti varian itu dirawat di tempat yang sesuai selain tidak berinteraksi dengan orang lain,” katanya semasa sidang media harian COVID-19 pada Jumaat.
Dalam sidang media yang sama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas menekankan, pihaknya masih mengekalkan kuarantin wajib 14 hari kepada setiap individu yang masuk ke negeri itu termasuk dari Wilayah Persekutuan Labuan.
Pemerhatian katanya turut ditambah dengan mewajibkan individu itu membuat permohonan melalui sistem ‘Enter Sarawak’ selain kawalan lebih ketat di sempadan negara.
"Selain itu kerajaan negeri juga mengarahkan agar anggota keselamatan untuk kekalkan tindakan tegas dalam menjaga sempadan negara di laluan laut, udara dan darat khasnya sempadan Sarawak-Kalimantan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai peningkatan kes di pusat tahanan, JPBN Sarawak akan terus menyiasat dan mengenal pasti dari mana punca kecuaian berlaku.
Katanya, perbincangan dengan pihak penjara akan merangkumi aspek fasiliti keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP), antara kakitangan penjara dan tahanan baharu.
Selain itu, untuk rekod, Sarawak hari ini mencatatkan 406 kes positif COVID-18 menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri itu kepada 68,247.
Sebanyak 108 kes hari ini melibatkan tahanan imigresen atau penjara termasuk 34 kes melibatkan Orang Kena Tahan (OKT) di Pusat Tahanan Imigresen Batu Lintang, Sri Aman (Kluster Benteng Sri Aman)
Sementara 56 kes pula dari tahanan di Penjara Pusat Miri (Kluster Tembok Miri) selain 18 kes merupakan tangkapan Imigresen di daerah Kuching.
Tiga daripada empat kluster baharu di Sarawak hari ini melibatkan pusat tahanan dan satu kawasan pasar basah di Mukah sekali gus meningkatkan jumlah kluster aktif kepada 99 kluster.
#Sarawak
#Varian Delta
#Kuching
#Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed
#Pengarah JKNS
#Douglas Uggah Embas