Tiada penularan HFMD di Taska, Tabika Kemas setakat ini
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 13, 2022 21:00 MYT
Mei 13, 2022 21:00 MYT
KEPALA BATAS: Tiada penularan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) serta Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) setakat ini.
Ketua Pengarah Kemas Malaysia, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata meskipun terdapat murid yang telah mendapat jangkitan HFMD di rumah, namun tindakan ibu bapa membuat pengasingan dengan tidak menghantar kanak-kanak terbabit ke tabika mahupun taska mengekang penularan penyakit itu di premis berkenaan.
Katanya, tiada penutupan dibuat setakat ini dan semua 10,830 tabika dan 545 taska di bawah Kemas masih beroperasi seperti biasa.
"Setakat ini tabika kita belum ada lagi (murid) dijangkiti, dan belum ada lagi laporan yang ditutup. Kalau kita ada dapat maklumat kita akan ambil langkah awal dan kita akan jemput wakil daripada Jabatan Kesihatan untuk beri nasihat apa tindakan yang sebaik-baiknya untuk kita lakukan.
"Jadi setakat ini belum ada lagi (jangkitan HFMD), di Pulau Pinang pun belum ada kes lagi. Kita harap tak adalah kes HFMD di Tadika Kemas kita," katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Yasid berkata, pihaknya turut menjemput wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke tabika dan taska untuk memberi penerangan berhubung penyakit yang melanda termasuk langkah perlu diambil sekiranya dijangkiti.
"Sebenarnya daripada zaman COVID-19 dulu pun kita dah buat, di mana setiap hari kanak-kanak datang ke tadika, mereka akan basuh tangan, akan sanitize (nyah kuman) tangan dia. Kemudian (waktu) makan juga cuci tangan dan alhamdulillah tadika kita, kita jaga dengan bersih.
"Jadi telah menjadi SOP tadika dalam keadaan bersih dan kita didik mereka dengan amalan kebersihan. Tak ada isu bila ada kes baru kita buat, tapi kita buat setiap hari... kita pastikan anak kita bersih dan selamat," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat kes HFMD dilaporkan di bawah premis kendalian Kemas hingga terpaksa ditutup pada sidang media selepas Program Asnaf Berdikari di Pusat Kemas Paya Keladi, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Jumaat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum itu memaklumkan kes jangkitan HFMD di negara ini menunjukkan peningkatan 12.8 kali ganda sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 17/2022, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sebanyak 22,463 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara sepanjang tempoh itu, berbanding 1,752 kes bagi ME 17/2021.
Tiga negeri mencatat kes tertinggi setakat tempoh itu adalah Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor serta Perak.
HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71, yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.
Antara gejala ialah demam, ruam atau lepuh pada tapak tangan dan kaki, ulser pada mulut serta lidah.
Penyakit itu boleh menjangkiti semua peringkat umur, terutama kanak-kanak yang berusia lima tahun dan ke bawah.
#penularan HFMD
#TABIKA
#taska
#Kemas
#Jabatan Kemajuan Masyarakat
#mohamad yasid bidin
#pulau pinang