Tiada pengenalan diri, dua nelayan warga asing ditahan
Aida Aziz
Julai 16, 2022 21:31 MYT
Julai 16, 2022 21:31 MYT
KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas A di kedudukan 2.2 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, semasa rondaan rutin kira-kira jam 6 petang, pasukan bot ronda APMM telah mengesan bot terbabit dalam keadaan mencurigakan dan sedang berapung.
"Hasil pemeriksaan mendapati, dua nelayan warga Indonesia termasuk tekong berumur 35 dan 48 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di atas bot.
"Bot yang digunakan pula tidak diusahakan sendiri pemilik dan tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran menggajikan kru warga asing. Namun bot memiliki dokumen lesen yang sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Sharenliza berkata, nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau bagi tindakan lanjut.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Tegasnya lagi, APMM akan terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut.
Sebarang salah laku jenayah maritim dan kecemasan, orang ramai boleh melaporkannya di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919.