Tiada pengeluaran pasir silika di Pasir Panjang - MB Perak
Abd Razak Mohd Ali
Januari 12, 2022 16:41 MYT
Januari 12, 2022 16:41 MYT
IPOH: Setakat ini tidak ada sebarang aktiviti membawa keluar pasir silika di Pantai Pasir Panjang, Segari, Lumut, seperti yang didakwa oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam masa sama, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak juga tidak pernah mengeluarkan kelulusan lesen kepada sesiapa pun untuk mengambil pasir di situ.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, oleh kerana tanah tersebut adalah tanah milik syarikat persendirian, kerajaan negeri tidak boleh menghalang mereka membuat aktiviti di kawasan berkenaan.
Jelas Saarani, selagi mana tuan tanah berkenaan mendiami kawasan itu dengan melakukan kerja-kerja seperti penanaman sawit dan lain-lain aktiviti tanah, dia bebas berbuat demikian.
“Tetapi, apabila menyentuh (kerja-kerja mengorek) pasir tidak boleh. Kita ada akta, pertama sudah tentu dia (pemilik tanah) akan ditangkap dan akan dibicarakan dan ada denda kerana dia telah mengeluarkan hasil galian tanpa lesen,” kata Saarani dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di pejabatnya di sini, pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau berkata, pihak PTG akan terus memantau aktiviti di kawasan berkenaan.
Pada Selasa, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar meminta Menteri Besar campur tangan serta mengambil tindakan lebih tegas berhubung isu perlombongan pasir silika di Pantai Pasir Panjang, Segari.