Tiada pengecualian duti setem untuk pindah milik hartanah ibu bapa kepada anak
Hasimi Muhamad
Disember 17, 2020 13:13 MYT
Disember 17, 2020 13:13 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang memberikan pengecualian duti setem untuk pindah milik hartanah daripada ibu bapa kepada anak ketika ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pengecualian duti setem 100 peratus hanya diberikan ke atas pindah milik di antara suami dan isteri sahaja.
"Kerajaan telah mengumumkan peremitan duti setem sebanyak 50 peratus diberikan ke atas surat cara pindah milik bagi urusan pindah milik harta tanah atas dasar kasih sayang di antara ibu bapa kepada anak atau sebaliknya.
"Hasrat peremitan duti ini diberikan adalah bagi menggalakkan urusan pindah milik harta di antara ibu bapa dan anak dilakukan semasa hidup bagi mengelakkan berlakunya permasalahan tuntutan harta setelah berlaku kematian antara salah satu pihak yang berkenaan.
"Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengurangkan kes tuntutan harta pusaka di mahkamah pada masa akan datang," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai pengecualian duti setem pindah milik hartanah daripada ibu bapa kepada anak, serta kaedah lain bagi mengelakkan permasalahan bagi pindah milik hartanah.
Tambah Tengku Zafrul, peremitan duti setem tersebut terpakai bagi surat cara pindah milik harta tidak alih yang disempurnakan pada atau selepas 1 Januari 2020.
Katanya, ia terhad bagi penerima harta tanah yang bertaraf warganegara Malaysia sahaja.
#pindah milik tanah
#Tengku Datuk Seri Zafrul
#pengecualian duti setem
#pindah milik hartanah
#Dewan Rakyat
#Mohd Nizar Zakaria