Tiada pengakuan baharu daripada pengasuh Naufal Amsyar

Astro Awani
Julai 22, 2018 17:01 MYT
MOHAD IDRIS berkata, wanita berusia 35 tahun itu hanya membuat pengakuan bayi malang itu pernah terjatuh sebanyak dua kali di bawah jagaannya. - Foto ihsan keluarga
Tiada pengakuan baharu dibuat pengasuh yang ditahan berhubung kematian Naufal Amsyar Nabil Fikri, 10 bulan di rumah wanita itu di Tangkak.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Susperintenden Mohad Idris Samsuri berkata, wanita berusia 35 tahun itu hanya membuat pengakuan bayi malang itu pernah terjatuh sebanyak dua kali di bawah jagaannya.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur penderaan dan pengabaian berhubung kes kematian Naufal Amsyar itu tetapi masih terlalu awal untuk membuat sebarang rumusan ke arah itu.
Selain itu, kata beliau pihaknya perlu menunggu laporan penuh daripada proses bedah siasat yang masih dijalankan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

“Bedah siasat akan selesai hari ini tetapi laporan itu dijangka mengambil masa. Jadi pada masa ini kita masih menunggu laporan bedah siasat itu,” beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak pada Ahad.
Ditanya, sama ada polis ada membuat rampasan di rumah pengasuh wanita berusia 35 tahun itu, Mohad Idris menjelaskan, pihaknya hanya merampas buaian.
Dalam pada itu, Mohad Idris meminta semua pihak untuk tidak membuat andaian awal sementara proses siasatan dilakukan dengan rapi oleh pihak polis.
Selasa lalu, bayi malang terbabit dimasukkan ke HPSF setelah dirujuk daripada Hospital Tangkak apabila pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata selain retak tempurung kepala yang serius.
Selepas empat hari menerima rawatan, Naufal Amsyar menghembuskan nafs terakhir sekitar 9 pagi semalam.
Bayi itu dipercayai terjatuh daripada buaian sebanyak dua kali sebelum ini ketika berada di rumah pengasuh di Taman Sialang, Tangkak.
#bayi malang #Hospital Pakar Sultanah Fatimah #HPSF #Mohad Idris Samsuri #Muar #Naufal Amsyar Nabil Fikri #pengasuh #Tangkak #wanita
;