Tiada penetapan had umur bagi pemegang lesen PSV, GDL - Wee

Bernama
April 30, 2021 16:29 MYT
Wee berkata mana-mana individu boleh terus memegang atau memperbaharui lesen mereka selagi mematuhi semua syarat termasuk mengemukakan laporan perubatan sebagai pengesahan kesihatan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Tiada had umur ditetapkan terhadap mana-mana individu yang ingin memohon lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bagi kenderaan e-hailing dan kenderaan barangan (GDL), kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Menerusi kenyataan hari ini, Wee berkata mana-mana individu boleh terus memegang atau memperbaharui lesen mereka selagi mematuhi semua syarat termasuk mengemukakan laporan perubatan sebagai pengesahan kesihatan.
Penetapan had umur maksimum oleh pihak e-hailing seperti dilaporkan adalah merupakan suatu ketetapan atau syarat dalaman untuk mendaftarkan mana-mana individu sebagai pemandu e-hailing dengan syarikat berkenaan, katanya.
Wee berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita mengenai seorang pemandu e-hailing wanita warga emas yang tidak lagi dapat berkhidmat dengan syarikat berkenaan kerana faktor usia.
Bagaimanapun, Wee berkata semua operator perkhidmatan e-hailing perlu menilai semula syarat dalaman yang ditetapkan terhadap pemandu e-hailing, termasuk berkaitan had umur maksimum bagi membantu pemandu e-hailing meneruskan kelangsungan hidup.
"Pemandu e-hailing juga perlu sentiasa bertanggungjawab dengan memastikan tahap kesihatan diri dalam keadaan yang baik bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan sentiasa selamat kepada penumpang serta pengguna jalan raya yang lain," katanya.
-- BERNAMA
#lesen #Wee Ka Siong #PSV #GDL #Kementerian Pengangkutan #had umur maksimum #e-hailing #warga emas
;