Tiada penangguhan pembayaran balik ansuran pembiayaan perumahan LPPSA
Astro Awani
April 8, 2020 16:22 MYT
April 8, 2020 16:22 MYT
Tiada penangguhan pembayaran balik ansuran bulanan bagi pembiayaan perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).
LPPSA dalam satu kenyataan memaklumkan, ia berikutan pihaknya yakin kebajikan penjawat awam telah cukup terjaga dan tiada keperluan penangguhan bayaran buat masa ini.
"Secara asasnya, penjawat awam dan pesara kerajaan masih tetap menerima gaji penuh dan pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk kewajipan bayaran balik pembiayaan perumahan LPPSA.
"Kebajikan penjawat awam di bawah pakej rangsangan PRIHATIN tetap menjadi salah satu keutamaan kerajaan melalui pemberian bantuan tunai seperti pembayaran RM500 secara one-off (sekali beri) kepada lebih 1.5 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan kontrak serta lebih 850,000 pesara kerajaan bermula April 2020.
"Tambahan pula, bagi penjawat awam yang tergolong dalam golongan B40 dan M40, bantuan juga disediakan melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di antara RM500 sehingga RM1,600 yang akan dibayar pada bulan April dan Mei 2020. Baki bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) pula akan dibayar pada bulan Julai 2020," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan daripada pelbagai pihak berkenaan kemungkinan penangguhan atau moratorium boleh diberikan kepada bayaran ansuran bulanan pembiayaan perumahan LPPSA.
"Kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan
LPPSA yang disubsidikan pada kadar faedah empat peratus. Ini adalah lebih rendah berbanding kadar pembiayaan yang ditawarkan oleh mana-mana institusi perbankan tempatan.
"Di samping itu, pembiayaan perumahan yang diberikan LPPSA dengan kadar faedah empat peratus ini adalah jauh lebih rendah berbanding kos dana yang diperolehi oleh LPPSA melalui terbitan sukuk iaitu pada kadar antara 4.5 peratus hingga lima peratus," ujar LPPSA lagi.
Justeru sebarang penangguhan kepada bayaran ansuran bulanan pembiayaan akan memberi kesan kepada aliran tunai LPPSA dan melibatkan pinjaman tambahan melebihi RM2 bilion.