Tiada penalti jika tampil buat pengakuan cukai: LHDN

Sinar Harian
April 5, 2023 07:15 MYT
Wartawan Sinar Harian menerima cenderamata sebagai tanda penghargaan daripada LHDN yang disampaikan Mohd Nizom pada Majlis Berbuka Puasa LHDN dan Apresiasi Media Sabah 2023 di Kota Kinabalu. - Gambar SINAR HARIAN
KOTA KINABALU: Tiada sebarang penalti dikenakan kepada individu yang membuat pengakuan cukai masing-masing menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Hasil, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi berkata, inisiatif itu melambangkan bahawa kerajaan mahu individu membuat pengakuan percukaian masing-masing saja.
"Tiada penalti, yang sudah berlalu itu tidak apa, hanya lapor saja berdasarkan apa yang diketahui dan Hasil terima secara baik dan tidak akan buka lagi tahun-tahun berkenaan untuk diaudit.
"Hasil akan berikan panduan apa yang patut dibuat supaya tidak lagi berlaku kekurangan atau tidak lapor bila ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa LHDN dan Apresiasi Media Sabah 2023 di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, LHDN menganggarkan kira-kira 50,000 pembayar cukai baharu atau sedia ada tampil untuk membuat pengakuan secara sukarela melalui program berkenaan.
"Berdasarkan data yang kami ada, kita menganggarkan bilangan yang akan tampil membuat pengakuan sukarela ini untuk melaporkan yang terkurang atau tertinggal sebelum ini, kita anggarkan sekitar 50,000 dan hasil itu kita tak fokus sangat tetapi kita buat anggaran secara realistik iaitu RM1 bilion.
"Memang kalau boleh nak banyak (hasil) tetapi kalau banyak sangat pun menandakan tak bagus, bererti terlalu banyak yang selama ini tidak melaporkan dengan betul.
"Kita mengharapkan angka itu sesuatu yang munasabah dan fokus bukannya hasil tetapi lebih kepada untuk memberi peluang kepada semua untuk tampil atau bermula dengan satu keadaan yang baik ke hadapan," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Nizom berkata, media juga memainkan peranan yang penting dalam membantu LHDN memaklumkan kepada orang ramai supaya tampil ke hadapan secara sukarela.
"Kita mengharapkan rakan media uar-uarkan program ini dan beritahu kepada rakyat, warganegara sama ada individu atau perniagaan.
"Contohnya, mereka yang hilang pekerjaan ketika pandemik COVID-19 kemudian memulakan perniagaan, tahun pertama mungkin sibuk memulakan perniagaan, mungkin terlupa atau tidak tahu mengenai peraturan cukai. Sekarang sudah tahun ketiga tetapi takut untuk datang, jadi datang saja dan kami akan bantu," katanya.
Sementara itu, dalam majlis itu pengamal media di Sabah termasuk Sinar Harian turut menerima penghargaan daripada LHDN atas kerjasama dan liputan yang diberikan menerusi laporan berita sebelum ini. - Sinar Harian
#cukai pendapatan #income tax #LDHN #pengakuan cukai
;