'Tiada pembuktian saintifik Sajjad adalah khunsa' - Mujahid
Astro Awani
Februari 3, 2020 20:42 MYT
Februari 3, 2020 20:42 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan tiada dokumen daripada pihak ketiga yang boleh membuktikan secara saintifik bahawa Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman seorang khunsa.
Menurut beliau, menjadi kewajipan kepada usahawan kosmetik kontroversi itu untuk menunaikan ibadah umrah berlandaskan ketetapan fatwa muzakarah haji berhubung isu melibatkan ibadah haji atau umrah oleh golongan mukhannas.
Dalam masa sama, Sajjad juga haruslah mematuhi kesopanan dan undang-undang Arab Saudi mengikut fitrah kelahiranya dalam melaksanakan ibadah.
"Kami berpegang kepada fatwa yang dikeluarkan oleh fatwa muzakarah haji yang telah jelas menyebut tanpa pembuktian tersebut, dia tetap kekal menjadi seorang yang asal jantinanya adalah lelaki.
"Maka segala hukum hakam yang dikenakan kepada mereka yang menjalankan ibadah umrah dan haji sama seperti lelaki lain," katanya dalam satu klip video yang dikongsikan kepada media di sini pada Isnin.
Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi pelancongan umrah Albayt Travel (M) Sdn Bhd pada petang Isnin susulan isu yang dipercayai membabitkan Muhammad Sajjad yang mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Mekah sehingga tular di media sosial.
“Saya akan mengambil tindakan tegas tentang perbuatan Muhammad Sajjad yang membuat naik video dan gambar mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Mekah sehingga tular di media sosial yang menimbulkan ketidakselesaan umat Islam.
“Tindakan segera akan diambil oleh SKMM," katanya.
Selain itu, Mujahid menjelaskan tindakan segera mengadakan pertemuan bersama SKMM diambil kerana suruhanjaya berkenaan mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana media sosial yang memuat kandungan yang menimbulkan rasa tidak selesa khususnya kepada umat Islam.
“Oleh kerana itu saya telah meminta nasihat dan memberi pandangan bagaimana satu tindakan yang tegas tentang isu ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Mujahid memberitahu, pertemuan bersama Albayt Travel (M) Sdn Bhd yang membawa Muhammad Sajad dan keluarganya pula bertujuan bagi mengetahui situasi sebenar yang berlaku di Mekah.
Sebelum ini, Muhammad Sajjad berkongsi beberapa klip video dan foto di laman sosialnya ketika menunaikan ibadah umrah.
Perkongsian itu mendapat kecaman dari beberapa individu termasuk Pencetus Ummah (PU) Amin yang kini berada di Tanah Suci.
PU Amin mendakwa perbuatan Muhammad Sajjad itu telah mendapat perhatian pihak berkuasa di Mekah.
#Mekah
#Mujahid Yusof
#Sajat di Mekah
#sajat telekung
#Sajjad
#Sajjad di Mekah
#Sajjad Kamaruz Zaman
#sajjad pakai telekung
#SKMM
#umrah