Tiada pembeli pasti tiada penjual, elak kepupusan penyu - FOSTER
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Mei 23, 2021 11:17 MYT
Mei 23, 2021 11:17 MYT
KOTA KINABALU: Sanggup berdepan risiko kesihatan, tidak peduli undang-undang dan hukum memakan haiwan dua alam menjadi punca utama kepupusan spesis penyu.
Sempena sambutan Hari Penyu Sedunia pada 23 Mei, Presiden Persatuan Memelihara Penyu Sabah (FOSTER), Alexander Yee mendedahkan bahawa kepupusan spesis haiwan terancam itu adalah akibat dari perbuatan tangan manusia yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya ramai yang tidak mahu mengambil peduli kepentingan haiwan yang menjadi sebahagian ekosistem hidupan marin itu.
"Menurut kajian saintis tujuan kewujudan spesis terancam itu adalah untuk memastikan keadaan dasar marin teratur dengan memakan rumpai-rumpai laut dan dari situ hidupan marin yang kecil akan menjadikan kawasan rumpai sebagai habitat dan membiak sebelum dimakan hidupan marin lebih besar dan seterusnya.
"Tidak akan ada keseimbangan sekiranya penyu tidak berada dalam ekosistem marin terbabit dan itulah antara sebab mengapa sambutan hari penyu setiap tahun diadakan, iaitu bertujuan mengekalkan keseimbangan itu dan mengelakkan spesis tersebut pupus," katanya yang ditemui di Kota Kinabalu pada Sabtu.
Jelasnya, Malaysia amat bertuah kerana memiliki banyak kawasan kepelbagaian biologi hinggakan spesis terancam tersebut menjadikan perairan negara sebagai lokasi pembiakan sehingga ke hari ini.
Namun katanya negara kerugian kerana tidak lagi dapat menyaksikan salah satu spesis tersebut iaitu penyu belimbing akibat kepupusan yang berpunca dari aktiviti memakan telur penyu.
"Negara kita memiliki kawasan kepelbagaian biologi terbaik dunia antaranya di Sabah, Kelantan dan Terengganu yang sering dikunjungi penyu belimbing, penyu agar dan penyu karah.
"Tapi sayangnya, hari ini kita hanya dapat melihat dua spesis penyu sahaja kerana penyu belimbing telah pupus dari ekosistem marin.
"Satu ketika dulu, penyu pelimbing ini paling banyak ditemui di Kelantan dan di Sabah ada di Pulau Selingan, Bakungan Kecil dan Gulisan namun kerana kurangnya kesedaran dan penguatkuasaan akhirnya spesis tersebut pupus."katanya.
Mengambil contoh di Sabah, Alexander berkata kerajaan telah berusaha mengelakkan kepupusan tersebut dengan mewartakan kawasan-kawasan tumpuan penyu tersebut di bawah Taman-Taman Sabah.
Katanya usaha pewartaan tersebut dilihat masih belum mampu menyekat sepenuhnya aktiviti memakan telur punya walaupun telah wujud Akta Hidupan Liar 1997 yang melarang aktiviti seumpama.
"Selepas kejadian kepupusan Penyu Belimbing tersebut, pihak berkuasa di Sabah telah bertindak mewartakan kawasan-kawasan tersebut dan ia dilihat sebagai usaha kerajaan bagi mengelakkan aktiviti mengambil, menjual dan memakan telur penyu berleluasa.
"Pewartaan adalah suatu yang baik bagaimanapun masih terdapat kekurangan dari sudut penguatkuasaan kerana kita perlu memahami keadaan geografi perairan Sabah yang panjang.
"Kita sedar soal kekurangan anggota dan kewangan negara bagi menambah anggota penguatkuasaan tetapi jika ia boleh diselesaikan saya yakin kita akan dapat melakukan penguatkuasaan di tahap lebih tinggi," jelas Alexander yang telah berkecimpung dalam kerja sukarelawan hidupan marin sejak 10 tahun lalu.
Beliau turut menyuarakan beberapa perkara berkaitan pemakanan telur penyu yang dilihatnya sebagai tidak beretika.
"Sehingga kini belum ada pengesahan kesihatan yang menyatakan bahawa memakan telur penyu itu baik untuk kesihatan dan saya tidak faham kenapa mereka sanggup mengambil risiko memakan telur yang memiliki kadar kolestrol tinggi.
"Seperkara lagi rakan saya yang beragama Islam ada memberitahu saya bahawa penganut agama tersebut tidak boleh memakan haiwan dua alam dan jika ia benar, dengan rasa penuh hormat saya amat menyarankan agar pihak berkuasa agama Islam di Sabah melakukan sesuatu.
"Kepupusan ini dapat dihentikan bermula dari sikap masyarakat dan kerjasama pihak berkuasa, sebagai contoh, jika tiada pembeli pasti tidak akan ada penjual," tambahnya.