Tiada pembatalan pakej pelancongan diterima - Tourism Malaysia
Media Statement
Julai 22, 2014 08:35 MYT
Julai 22, 2014 08:35 MYT
Tourism Malaysia tidak menerima maklumat mengenai sebarang pembatalan segera pakej pelancongan dari Eropah, Rusia serta negara-negara Scandinavia dan Benelux.
Bagaimanapun Tourism Malaysia akan memantau reaksi pasaran secara dekat memandangkan pelancong dari negara yang disebutkan itu terbang ke Asia Tenggara, Australia dan New Zealand menggunakan Malaysia Airlines (MAS) yang juga berkongsi kod dengan Royal Dutch Airlines (KLM).
"Ini adalah tempoh puncak kerana banyak pelancong dari pasaran sini sedang bercuti musim panas yang panjang dan lazimnya mereka menggunakan MAS untuk terbang bukan sahaja ke Kuala Lumpur tetapi juga ke destinasi pelancongan lain di rantau Asean," kata Tourism Malaysia dalam kenyataannya di sini pada Isnin.
Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, Malaysia menerima 31,945 pelancong dari Belanda, peningkatan sebanyak 13.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2013.
Tempoh yang sama juga menyaksikan peningkatan ketibaan pelancong dari Eropah Timur sebanyak 55,771 (25.1 peratus), Eropah Utara 227,545 (8.9 peratus), Eropah Selatan 46,043 (29.9 peratus) dan Eropah Barat 179,574 (15.9 peratus) hasil daripada usaha promosi sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
Tahun lepas Malaysia menerima sejumlah 427,995 pelancong dari Eropah Barat dengan 83,955 pelancong dari Belanda, 107,541 dari Eropah Timur, 548,729 (Eropah Utara) dan 109,447 (Eropah Selatan).
Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Tourism Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris 298 penumpang dan anak kapal MH17.
"Bagi pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tourism Malaysia dan warga Malaysia, simpati kami, ingatan ikhlas, doa dan ucapan takziah adalah kepada setiap mangsa yang terlibat dalam tragedi malang ini," katanya.