Tiada pemandu kedua, JPJ saman 14 bas ekspres dan persiaran
Bernama
Februari 2, 2025 20:45 MYT
Februari 2, 2025 20:45 MYT
BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan saman terhadap 14 ekspres dan bas persiaran kerana kesalahan tiada pemandu kedua bagi pemanduan melebihi 300 kilometer atau melebihi empat jam berterusan, dalam operasi khas di Plaza Tol Juru malam tadi.
JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan kesalahan lain dikesan dalam operasi itu ialah tidak mengemas kini buku log dan kesalahan teknikal.
"Operasi dijalankan bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pemandu atau pemilik kenderaan perkhidmatan awam yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010)," menurut kenyataan itu.
Selain itu, JPJ Pulau Pinang turut mengeluarkan 228 notis saman kerana pelbagai kesalahan dalam ops khas bersepadu motosikal sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang malam tadi.
Kesalahan dikesan antaranya tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tidak mempamer pelekat P serta mengubah suai motosikal tanpa kebenaran.
-- BERNAMA