Tiada pakaian seragam ke sekolah? Pelajar dibenarkan pakai baju sesuai, kemas, sopan

Umavathi Ramayah
Februari 24, 2021 15:54 MYT
KPM berkata kebenaran itu diberi mulai 1 Mac sehingga 26 Mac, iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan 2021. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pelajar yang masih belum mempunyai pakaian seragam diberi kelonggaran untuk memakai pakaian yang sesuai, kemas dan sopan ke sekolah.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberitahu, kebenaran itu bagaimanapun hanya diberi mulai 1 Mac hingga 26 Mac, iaitu sehingga cuti persekolahan penggal tahun 2021.
"KPM berharap kebenaran ini akan membolehkan semua pelajar kembali ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
KPM menjelaskan pemakaian baju seragam sekolah ada dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-murid Sekolah.
Namun, katanya, kelonggaran itu diberi selepas mengambil kita situasi semasa negara.
Kenyataan itu memberitahu, selepas tarikh pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka diumumkan, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa mengenai pemakaian pakaian sekolah.
KPM turut menyatakan komited untuk terus melakukan yang terbaik.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sekolah rendah, kolej vokasional dan sekolah antarabangsa serta institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat yang tidak menawarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan umum masing-masing akan dibuka pada 1 dan 8 Mac ini.
#Kementerian Pendidikan #pengajaran dan pembelajaran #KPM #Murid dibenar tidak memakai seragam sekolah
;