"Tiada niat sentuh sensitiviti agama" - Diwiyana jawab isu penularan video ibunya terlantar
Abd Razak Mohd Ali
Februari 23, 2022 19:18 MYT
Februari 23, 2022 19:18 MYT
TELUK INTAN: Anak kepada pesakit terlantar, Diwiyana Mohamed, 37, berkata, dia terpaksa membuat video sehingga tular bukan bertujuan untuk menimbulkan kekecohan.
Sebaliknya, kata Diwiyana, tindakan itu diambil kerana dia buntu permohonan bantuan untuk emaknya, Selamah Hamid, 73, sejak setahun lalu, masih belum diluluskan.
Tegas Diwiyana, dia juga tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti agama dalam luahannya
Bercerita lanjut mengenai video yang tular sejak Selasa, ibu kepada enam anak itu berkata, pelbagai usaha telah dilakukannya termasuk memecahkan tabung anak-anak untuk membeli keperluan emaknya.
“Saya sudah usaha macam-macam, sampai sanggup pecahkan tabung untuk beli pampers mak, sebab kami sudah tiada duit.
“Berniaga pun 10 biji burger pun susah nak jual, kami cuba minta (daripada) badan lain, tapi mungkin bukan rezeki kami lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Manik, dekat sini, hari ini.
Menurut Diwiyana, seperti yang umum sedia maklum, pertolongan hanya akan diperoleh jika sesuatu rakaman itu ditularkan.
Kesulitan memperoleh bantuan daripada pihak berwajib mula dirasakan Diwiyana apabila dia sekeluarga berpindah ke kampung halaman di sini selepas menetap di Cheras, Kuala Lumpur.
Berikutan perpindahan itu, bantuan RM350 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, katanya, terputus dan dia terpaksa membuat permohonan baru dari JKM Perak pada Februari tahun lalu.
Bagaimanapun, setelah setahun menunggu, masih tiada jawapan diterima sehingga tular video kekesalan Diwiyana yang mengundang pelbagai kritikan daripada netizen.
Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin yang mengunjungi keluarga itu berkata, perkara tersebut berlaku mungkin disebabkan kelemahan dalam sistem e-bantuan.
“Permohonan tersebut tidak dapat diproses melalui sistem e-bantuan JKM kerana namanya berada di dalam sebagai pelanggan JKM Wilayah Persekutuan, belum lagi dikeluarkan.
“Selepas ini, rasanya telah dikeluarkan dan Pengarah JKM sendiri telah menguruskannya,” ujarnya.
Ekoran daripada itu, katanya, JKM telah meluluskan bantuan kepada emak Diwiyana sebanyak RM500 sebulan mulai bulan depan.
Sehubungan itu, Wan Norashikin mencadangkan agar pihak JKM meneliti semula sistem e-bantuan agar masalah sama tidak berulang.
Dalam masa sama, kata beliau, pihaknya juga akan memberi bantuan kiosk mudah alih bagi memudahkan wanita itu dan suaminya menjual burger.
Di samping itu, ujarnya, Pegawai Psikologi JKM akan turut membantu memberi kaunseling bagi menangani emosi keluarga tersebut.
Terdahulu tular di media sosial Diwiyana meluahkan rasa kecewa sehingga mendapatkan tontonan lebih 600,000 di samping mengundang pelbagai kritikan netizen.