Tiada niat hina PAC - Zambry
Aida Aziz
November 26, 2018 17:44 MYT
November 26, 2018 17:44 MYT
Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir bertindak keluar meninggalkan sesi pendengaran awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) kerana membantah sesi pendengaran itu diadakan secara terbuka.
Zambry bertindak keluar sebelum soalan dikemukakan pada sesi pendengaran yang diadakan di bilik mesyuarat korporat Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Beliau bertindak demikian selepas Pengerusi PAC Perak, Leong Cheok Keng menyatakan PAC kekal dengan pendirian mahu sesi pendengaran itu diadakan secara terbuka.
Sementara itu, Zambry ketika ditemui dalam sidang media khas di Bangunan UMNO Perak berkata tindakannya itu bukan bermaksud menghina jawatankuasa tersebut.
Zambry berkata, sesi pendengaran awam itu tidak jalankan mengikut tatacara dan amalan biasa PAC Perak kerana di Parlimen sendiri tidak dibuat sesi pendengaran awam tersebut.
“Kita harus menghormati. Kita tidak boleh meletakkan undang-undang di tangan kita.
“Ini bukan soal saya takut atau khuatir dan sebagainya. Ini berkaitan dengan soal peraturan dan undang-undang yang diamalkan.
“PAC ada peraturannya, ada tatacaranya. Begitu juga dengan jawatankuasa lain, ada tatacaranya. Tidak boleh (berbuat demikian) kerana kononnya nak mencipta sejarah, tapi malangnya, sejarah yang dicipta itu suatu yang saya anggap sebagai the black eyes to our system,” ujar beliau.
Menurut Zambry lagi, beliau bersedia memberi kerjasama dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan jika jawatankuasa membuat sesi pendengaran itu mengikut tatacara dan amalan biasa.
Sesi pendengaran awam PAC pada pagi Isnin itu dihadiri lima ahli PAC manakala dua lagi ahli daripada Barisan Nasional (BN) iaitu ADUN Slim River, Datuk Mohd Khusairi Abdul dan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim tidak hadir.
Turut hadir bersama Zambry ialah bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) Datuk Aminuddin Hashim.
Dalam pada itu, Zambry tidak menafikan kenyataan Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad semalam yang mendedahkan beberapa ADUN BN dipujuk individu dari dalam Pakatan Harapan bagi menyokong usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Saya rasa itu diversion (mengalih tumpuan). Akan saya jawab nantilah perkara itu. But it’s real, bukan sayalah, but it’s real,” ujarnya.