'Tiada negara seberani Malaysia sokong Palestin' - Mufti Perlis

Sinar Harian
Ogos 5, 2024 04:10 MYT
Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu tersebut hendak diberikan supaya suara bantahan rakyat jelas dan tegas. - Gambar fail
SHAH ALAM: Tiada negara lain yang seberani kerajaan Malaysia dalam menyatakan sokongan terhadap isu Palestin dan mengutuk kekejaman Israel yang menyebabkan kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Ia susulan langkah kerajaan dalam menganjurkan Himpunan Solidariti Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad sebagai tanda menyokong perjuangan pembebasan Palestin daripada pembunuhan kejam rejim zionis.
Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu tersebut hendak diberikan supaya suara bantahan rakyat jelas dan tegas.
"Tiada negara lain yang seberani ini dalam sikap terhadap isu Palestin.
"Saya rasa kita mungkin boleh berbeza pandangan dengan kerajaan dalam hal-hal lain, tapi tidak dalam hal ini.
"Kita hendaklah akui bahawa majlis seperti ini (Himpunan Solidariti Palestin) tidak dibuat setakat ini oleh mana-mana negara Arab, walaupun lima peratus," katanya dalam di Facebook pada Isnin.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kira-kira 20,000 orang dijangka hadir di Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menzahirkan sokongan mereka kepada rakyat Palestin.
Dalam pada itu, ujar Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza, acara dan kenyataan terbuka seperti yang dilakukan di Himpunan Solidariti Palestin boleh mengundang reaksi lobi Yahudi di Timur dan Barat.
"Hanya kepimpinan negara yang berani sahaja boleh menganjurkan acara seperti ini yang mengutuk secara terbuka negara haram yang dilaknat itu.
"Apapun andaian pihak lain, sama ada tujuan politik atau selainnya, risikonya tetap ada dan pihak kerajaan berani mengambilnya.
"Kebaikannya juga besar untuk pembentukan pemikiran dan sikap rakyat kita," menurutnya. - Sinar Harian
#kekejaman israel #Gaza #perjuangan rakyat Palestin #Himpunan Solidariti Palestin #Ismail Haniyeh