Tiada mogok teksi hari ini - Presiden PERPEKLI
Azyyati Ahmad
April 4, 2016 13:48 MYT
April 4, 2016 13:48 MYT
Tiada mogok yang akan diadakan oleh pemandu teksi di ibu kota pada hari ini, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (PERPEKLI) Datuk Aslah Abdullah.
Sebelum ini ada ura-ura mengatakan bahawa protes kedua akan berlangsung pada 4 April di hadapan pusat beli-belah Pavilion di Jalan Bukit Bintang di sini.
Bagaimanapun Aslah tidak menafikan gelombang kedua protes tersebut mungkin akan diadakan pada masa terdekat.
"Pada mulanya kita merancang untuk melakukan protes kedua pada 4 April tetapi tiada kata putus mengenainya dibuat.
"Saya rasa kemungkinan akan ada lagi protes dari pihak teksi dalam masa terdekat memandangkan masih tiada tindakan dari Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak protes Mac lalu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Dalam masa yang sama, Aslah turut mengingatkan pemandu teksi agar protes kedua yang akan diadakan nanti hendaklah diadakan secara berhemah dan tidak menyusahkan rakyat.
"Kalau menyusahkan orang ramai dan pemandu lain, Uber dan GrabCar tepuk tangan.
“Sebab utama kita protes adalah kerana kedua-dua perkhidmatan ini dibiarkan beroperasi berleluasa tanpa syarat, sedangkan pemandu teksi kena akur banyak syarat dan peraturan dari SPAD seperti saiz kereta, warna kereta, lesen dan sebagainya,” katanya.
29 Mac lalu sekumpulan pemandu teksi telah berkumpul di Jalan Ampang berhampiran KLCC bagi melakukan protes berikutan kegagalan SPAD mengambil tindakan terhadap perkhidmatan Uber dan GrabCar yang didakwa telah menjejaskan pendapatan mereka.