Tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat pada 2 Mac
Astro Awani
Februari 28, 2020 13:23 MYT
Februari 28, 2020 13:23 MYT
Yang di-Pertua Dewan Rakyat hari ini memaklumkan tiada Mesyuarat Khas akan diadakan pada Isnin, 2 Mac ini seperti yang dicadangkan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis.
Menurut Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, ia berikutan Surat Pemanggilan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Tun Dr Mahathir dan dikemukakan kepadanya tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 11(3).
"Saya mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) oleh kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3) , pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan olehnya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat.
"Setakat ini tiada notis dikeluarkan," katanya.
Susulan itu keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Dewan akan hanya dibuat selepas mendapat titah rasmi daripada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.